Menjadi khalifah pertama Abu_Bakar_as-Siddiq

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis iaitu majlis Syura', yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abu Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar.Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan. [3]

Jalaluddin al-Suyuti dalam karyanya al-Khulafa al-Rashidun ('Khalifah al-Rashyidun') menyatakan bahawa semasa perjumpaan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar orang Islam Ansar di rumah Sa'd ibn Ubadah selepas kewafatan Nabi Muhammad (SAW), Sayidina Abu Bakar pada mulanya mencadang dua calon sebagai Khalifah, yakni Sayidina Umar dan seorang Sahabat lain, Abu Ubaidah ibn al-Jarrah. Perbincangan menjadi hangat sehinggalah Sayidina Umar menyuruh Sayidina Abu Bakar menghulurkan tangannya lalu Sayidina Umar mengambil tangan Sayidina Abu Bakar dan memberi bai'ah kepadanya. Tindakan Sayidina Umar diikuti Muhajirin dan Ansar. Selepas mendapat bai'ah, Sayidina Abu Bakar mencari az-Zubair dan Sayidina Ali yang tiada di pertemuan itu. Kedua-dua mereka dipanggil dan memberi bai'ah kepada Sayidina Abu Bakar apabila mereka tiba.[4]

Peperangan Islam-Riddah

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Namun Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam pertempuran.[5]

Ekspedisi ke Utara

Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Pengumpulan al-Quran

Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khattab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran[6]. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan dengan membukukan al-Quran, iaitu mushaf Uthmani, semasa beliau menjadi khalifah.

Berkaitan